top of page

Nasyid Bawa Manfaat

 

Industri nasyid telah bertapak sekian lama di Malaysia. Walau bagaimanapun irama nasyid mula diminati ramai sejak kemunculan kumpulan Al-Jawahir, El Suraya dan Al-Mizan pada 1970-an. Selepas itu, irama nasyid di tanah air kita mula dihiasi dengan kehadiran kumpulan nasyid 'indie' atau 'underground' seperti kumpulan nasyid jemaah Al-Arqam iaitu Nada Murni (kumpulan asal Rabbani dan Hijjaz) dan The Zikr (Raihan) dalam era 80-an.

Akhirnya, kegemilangan industri nasyid bermula dengan kemunculan kumpulan Raihan yang berjaya menggegarkan negara dengan jumlah jualan album sulungnya, Puji-pujian yang mencecah lebih 600,000 unit pada tahun 1996 dan sejak itu irama nasyid mula diminati ramai. Kumpulan raihan juga menjadi pelopor kepada kumpulan nasyid yang lain kerana telah berjaya membawa nasyid  Malaysia ke peringkat antarabangsa. Kumpulan Raihan sangat terkenal di luar negara terutamanya di Australia.

Irama nasyid kian mendapat tempat di hati rakyat di tanah air setelah munculnya nama-nama seperti In-Team, Hijjaz, Brothers, Fareast dan kumpulan-kumpulan yang lain yang mana kemunculan mereka di ibaratkan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Irama nasyid berkait rapat dengan lirik lagu berkonsepkan ketuhanan dan mengajak manusia kearah kebaikkan. Contohnya lirik lagu terima kasih tuhan dari kumpulan mawaddah. Antara bait lagu tersebut:

Terima kasih wahai Tuhanku
Yang sentiasa melimpahkan Rahmat-Nya
Membenarkan aku menghadap-Mu Tuhan
Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Untuk bercakap dengan-Mu Tuhan
Mengizinkan kuminta pada-Mu
Memuja – memuji sepenuh hatiku
Memohon munajat pada-Mu Ya Rabbi

Terdapat juga lagu nasyid yang mampu meningkatkan rasa kecintaan kepada Rasulullah. Antaranya Rasulullah oleh Hijjaz, Selawat Junjungan oleh Inteam, Ya Rasulullah oleh Raihan. Lirik-lirik lagu ini mampu menimbulkan rasa rindu untuk bertemu Rasulullah. Bahkan mampu meningkatkan keinginan untuk bertemu Rasulullah di akhirat kelak. Secara tidak langsung, lirik-lirik lagu ini akan dapat mengajak para pendengarnya mengamalkan sunnah Rasulullah.

Selain itu, lirik lagu nasyid juga dapat membantu untuk mengingati perkara penting di dalam bidang agama.Contohnya seperti lagu 25 Rasul oleh Raihan, Rukun Islam oleh Aeman, Suwarul Minal Quran oleh Amar dan banyak lagi. Pembelajaran melalui lagu lebih mudah diingati dan lebih menyeronokkan terutamanya bagi golongan kanak-kanak.

Terdapat juga lirik lagu yang membawa para pendengar untuk mengenali pahlawan dan srikandi Islam. Oleh itu, para pendengar dapat mengetahui fakta-fakta sejarah yang dianggap membosankan oleh kebanyakan remaja. Antara contoh lagu berkenaan pahlawan Islam adalah seperti Bilal bin Rabah oleh All One, Hamzah Asadullah oleh Inteam, dan Hanzalah oleh Rabbani. Manakala contoh lagu berkaitan yang berhubungkait dengan serikandi-serikandi Islam adalah seperti Rabiatul Adawiyah oleh Inteam, Aisyah Huamirah oleh UNIC dan Sumaiyyah didendangkan oleh Hijjaz.

Kesimpulan yang kita boleh dapat daripada lagu-lagu naysid ini, ia dapat membantu para pendengar untuk behibur dalam konteks Islam. Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berhibur selagi ianya tidak melanggar batasan syarak yang telah ditetapkan oleh agama.

           

bottom of page