top of page

Taugeh, Baik Untuk Kesihatan

OLEH: SITI NURFAUZIANNA BAKRI

        Tahukah anda akan kebaikan atau khasiat taugeh? Ada di antara kita tahu dan ada juga yang tidak tahu tentang khasiat sayur ini. Kita tahu bahawa taugeh merupakan sebahagian daripada sayuran yang terdapat di dalam bahan masakan seperti dalam masakan mee goreng, kuew tiaw goreng, sayuran campur dan lain-lain lagi. Namun, tidak semua orang menggemari taugeh. Bagi sesiapa yang menggemarinya, tentu akan berasa gembira jika mereka mengetahui bahawa taugeh mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan termasuklah untuk awet muda.

        Khasiat atau kebaikan taugeh yang pertama adalah ia boleh mencegah kanser. Hal ini disebabkan taugeh terdiri daripada jenis kacang, alfalfa dan sebagainya, mengandungi banyak unsur fitokimia yang berkhasiat. Salah satu daripadanya ialah canavanine iaitu sejenis asid amino yang mampu melumpuhkan punca kanser leukimia, usus besar dan pankreas.

 

      Bukan itu sahaja, malahan sayur ini membawa kebaikan kepada wanita kerana ia mempunyai estrogen semulajadi yang berfungsi seperti estrogen sintesis. Estrogen yang terdapat dalam taugeh ini dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang, serta mampu mencegah kerapuhan tulang (osteoporosis). Pengambilan taugeh secara kerap oleh wanita akan dapat membantu mengelakkan dari kanser payudara, gangguan menjelang haid, simptom pra-menopaus, dan gangguan akibat menopaus.

      Selain itu, taugeh mampu menyumbang kepada kesuburun sama ada kepada lelaki mahupun wanita. Jika lelaki mengamalkan pengambilan taugeh, ia mampu membuatkan sperma yang dihasilkan lebih baik. Begitu juga bagi kaum wanita yang dapat membantu meningkatkan tahap kesuburan sekiranya mereka mengamalkan pengambilan taugeh di dalam kehiidupan seharian mereka.

 

      Adakah anda tahu bahawa dengan sayur ini, ia boleh mengurangkan lemak kepada seseorang? Mereka yang berisiko mempunyai penyakit strok dan serangan jantung disebabkan oleh kadar lemak yang tinggi, amat digalakkan jika mereka mengambil lebih banyak menu taugeh di dalam hidangan seharian. Saponi dalam taugeh akan menghalau ‘lemak jahat’ LDL tanpa mengganggu kandungan lemak baik HDL kerana ketika kacang dicambahkan untuk dijadikan taugeh secara umum, kadar saponinya meningkat sehingga 450%.

 

      Satu lagi khasiat taugeh yang tidak kurang hebatnya iaitu dapat membantu membuang kotoran dalam usus besar kerana ia mengandungi banyak serat dan air. Apabila kotoran ini segera meninggalkan usus besar, tiada lagi zat-zat racun dalam kotoran yang diserap tubuh. Ia akan mencegah pengumpulan bahan beracun yang dapat merangsang berseminya benih kanser.

 

     Selain sarat DNA, taugeh padat dengan antioksida kuat yang menghalang tubuh dari radikal bebas perosak sel DNA. Pelindungan ini menguatkan kesimpulan taugeh merupakan salah satu sayur-sayuran yang mengekalkan awet muda.

 

      Kesimpulannya, kita seharusnya mengamalkan pemakanan taugeh di dalam kehidupan seharian kerana ia mempunyai kebaikan dan khasiat yang tersendiri. Oleh itu, janganlah kita ragu-ragu untuk mengambil sayur ini di dalam masakan seharian kita.

bottom of page