top of page

Pengaruh Budaya Asing Di Kalangan Generasi Muda

 

​Perkembangan pesat teknologi maklumat pada hari ini telah mendedahkan remaja-remaja Malaysia kepada budaya luar. “Segalanya ada di hujung jari anda” menunjukkan teknologi ini adalah satu medium yang menyebabkan penyebaran budaya luar ini lebih pantas. Remaja hari ini mudah terpengaruh dengan ideologi-ideologi barat terutamanya dari segi pemikiran, pemakaian, dan sebagainya, yang semakin membelakangi budaya timur.

Generasi muda yang terdiri dari dua kata majmuk, kata yang kedua adalah sifat atau keadaan kelompok individu itu yang masih berusia muda diwarisi oleh cita-cita dan dibebani hak dan kewajipan. Ianya juga mengandungi erti populasi remaja, anak muda atau pemuda yang sedang membentuk dirinya.

Remaja pada hari ini disaran memupuk nilai murni dan budaya bagi memperkasakan jati diri daripada dikuasai pengaruh negatif yang kian tersebar kini. Perkara seperti ini penting bagi memastikan golongan belia berupaya mempertahankan identiti serta budaya sendiri. Ramai anak muda kini sudah mula melupakan adat dan tradisi melayu dalam kehidupan seharian mereka.

Sebenarnya, para remaja bebas mengamalkan atau mempelajari budaya semua kaum. Yang menjadi masalahnya ialah kebanyakan budaya asing terutama sekali budaya barat itu yang bertentangan dengan nilai-nilai murni bangsa melayu yang berhemah tinggi dan bersopan santun. Ini termasuklah pakaian yang menjolok mata, fesyen rambut ala ‘punk’, hiburan yang melampau-lampau, dan pengaruh pergaulan yang terlalu bebas hingga melampaui batas susila orang-orang timur.

Sebagai remaja yang bakal memimpin Negara pada masa akan datang, kita perlulah sensitif terhadap budaya kita sendiri. Budaya Nasional  merupakan lambang perpaduan dan keutuhan peribadi setiap rakyat Negara Malaysia. Generasi Muda harus lebih mengenali budaya tempatan supaya tidak hilang ditelan zaman.

Hakikatnya, kita boleh mencontohi adat resam atau kebudayaan sesebuah Negara itu tetapi kita mestilah pandai menyesuaikan dengan keadaaan ditempat sendiri. Dengan ini bangsa kita akan tetap di hormati kerana mempunyai identiti yang tersendiri.

Sebagai contoh nilai murni yang boleh mereka praktikkan seperti memberi salam, berjalan sambil menundukkan hormat di hadapan orang, ucapan terima kasih bagi menunjukkan rasa pernghargaan dan sebagainya.

Generasi muda adalah pewaris bangsa dan Negara, baik buruknya bangsa bergantung kepada bagaimana generasi mudanya. Apakah generasi muda memiliki keperibadian yang kukuh, semangat nasionalisme dan sifat yang kuat untuk membangunkan bangsa dan negaranya. Apakah golongan belia memiliki dan menguasai pengetahuan teknologi untuk bersaing dengan bangsa lain.

Belia dalam konteks hari ini,menjadi ‘ejen transformasi’ yang akan memainkan peranan serta mempunyai fungsi yang tertentu. Cabaran besar hari ini adalah untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan integriti dalam diri generasi muda melalui aktiviti, program serta diri masing-masing. Pembudayaan integriti memerlukan komitmen dan tanggungjawab besar dari segala lapisan masyarakat.

Faktor-faktor yang menyebabkan remaja kini lebih mudah terdedah dengan pengaruh negatif seperti :-

Keruntuhan Institusi kekeluargaan

Keruntuhan institusi keluarga dan kepincangan rumah tangga yang berpunca daripada penceraian, poligami, dan sebagainya memberi tekanan kepada jiwa remaja sekaligus mereka bertindak mencari ketenangan di luar rumah dengan menghabiskan masa bergaul dengan rakan-rakan yang memahami perasaan dan masalah mereka.

Kurangnya pengawasan ibu bapa

Sikap ibu bapa yang kurang memberi pengawasan kepada anak-anak juga memberi peluang kepada remaja-remaja ini untuk keluar berpeleseran dan menghabiskan masa terluang dengan aktiviti yang tidak bermanfaat. Kebanyakan ibu bapa pada hari ini lebih mengejar kemewahan duniawi dan kepentingan materialistik semata-mata sehingga mengabaikan kebajikan anak-anak. Ekoran daripada sikap ibu bapa tersebut, anak-anak pastinya terbiar, tidak dapat perhatian dan kasih sayang.  Malah lebih teruk lagi, terdapat juga anak-anak merasakan bahawa diri mereka tidak diperlukan lagi.Sehubungan dengan itu, mereka mencari ketenangan dan keseronokan di luar dan bercampur dengan rakan-rakan yang mengalami nasib yang sama.

Pegangan agama yang tidak teguh

Apabila pegangan agama masyarakat khususnya golongan muda tidak teguh, mereka tidak akan mendapat makanan jiwa dan inilah yang menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan budaya luar .

Tanggungjawab belia penting dalam mencetuskan angin perubahan sesebuah Negara kearah yang lebih baik. Sekiranya masyarakat mahu melihat nasib dan Negara mereka berubah baik, pemuda perlu tampil dan berani membuat perubahan.

bottom of page